Teacher, kenapa kami tak boleh pergi hari ni ?

 tanya Afiq, salah seorang murid tadika. Mukanya masam mencuka, merajuk.

Kan teacher dah sebut tadi, insya-Allah, esok turn Afiq dan kawan-kawan lain yang tak pergi hari ni pulak ye. Kereta teacher tak boleh muat semua orang,

 saya menjawab, memujuk.

Mukanya masih masam, enggan senyum. Fareez di sebelahnya juga begitu, mata tidak memandang saya dan kawan-kawan yang sedang beratur, pun merajuk sama.

 Minta maaf,  saya berbisik dalam hati. 

Memang mereka sedih, terasa ditinggalkan, walaupun tiada niat sebegitu. Budak-budak seusia ini memang sukar menggambarkan ganjaran yang tidak ada di depan mata. 

 Irfa’, Anzal. Irfa’, Anzal..

suara Teacher Yan membetulkan barisan mengalihkan tumpuan kembali kepada budak-budak tadika yang akan pergi hari ini. Kami akan membawa separuh daripada murid-murid tadika 6 tahun bersama kami. Esok, kumpulan yang separuh lagi pula yang akan pergi, termasuk Afiq dan Fareez.

Ya, hari ini, 23 Ramadhan 1429, hari pertama kami akan menjalankan sebahagian daripada satu misi penting – menyampaikan sumbangan sedekah Tabung Infaq Ramadhan Al-Fatih terus langsung kepada mereka yang memerlukan.

Tabung Infaq Ramadhan ini memang istimewa dan unik. Beberapa hari sebelum Ramadhan, selain daripada menjelaskan aktiviti-aktiviti dan adab-adab untuk menyambut bulan yang mulia ini, kami telah melancarkan Al-Fatih Ramadhan Infaq Fund di tadika.

Tujuannya cuma satu; melatih tangan-tangan kecil ini supaya ringan memberi sedekah, apatah lagi di bulan Ramadhan. 

 

Rasulullah SAW bersabda: 

"الصدقة تطفئ الخطيئة كما يطفئ الماء النار" رواه الترمذي. 

Sedekah boleh melupuskan dosa laksana air yang boleh memadamkan api. 

(riwayat Ahmad dan Tirmidhi)

Alhamdulillah, rata-rata ibu bapa memberi sokongan padu; sentiasa membekalkan anak-anak mereka dengan duit kecil dan syiling saban hari. Memang telah kami tekankan, jumlah sedekah tidak begitu penting, niat dan perbuatan sedekah itu yang utama, insya-Allah.

Setelah dikumpul, dipilih, dikira, dicongak, dan ditukar ke wang kertas yang lebih besar, Alhamdulillah, kutipan tabung mencecah RM600.00, Allahu Akbar !

Setelah berbincang dengan semua guru-guru, kami bersetuju untuk menyumbang wang tunai kepada 3 keluarga yang memerlukan , bersama barangan keperluan asas sedikit seperti beras, minyak, gula, susu serta kuih raya yang telah disumbangkan oleh salah seorang ibu bapa murid tadika.

Faris, Idlan, Ishraf, Aiman R, Ifwat, Fahmi dan Hanif. Semua masuk kereta Teacher Nor. Harith, Hakim, and all the girls, masuk kereta Teacher Iman

Dengan pelbagai ragam, dan suasana gamat yang lumrah dalam mengendalikan budak-budak tadika, akhirnya, mereka semua berjaya juga kami muatkan ke dalam 2 kereta besar. Teacher Yan sama mengiringi di dalam kereta MPV.

Janjinya akan bertemu dengan penunjuk arah, Kak Norzuriyati, di tol Sungai Ramal pada pukul 8.50 pagi. Beliau dari JIM Hulu Langat dan juga merupakan seorang sukarelawan kebajikan Hospital Kajang. Dari dialah kami mendapat senarai 3 keluarga yang dhaif dan pernah mendapat rawatan di Hospital Kajang.

Setelah meredah ke Kajang Utama, berhenti menanya ke situ dan ke sini, akhirnya kami sampai di satu kawasan flat 4 tingkat yang nampak agak usang. Walaupun di luar bangunan nampak baru bercat, tapi keadaan di dalam bangunan memang nampak lama dan agak terbiar. makcik noraisyah, pesakit kencing manis yang dilawat oleh kanak-kanak tadika Al-Fatih dalam menyampaikan sumbangan Ramadhan Infaq Fund

Kami tunggu dulu di dalam kereta sementara kak Norzu bertanya memastikan barulah membenarkan anak-anak murid tadika turun walaupun mereka sudah resah gelisah terkurung di dalam kereta.

Alhamdulillah, bukan saja tempat itu betul, tapi orang yang Kak Norzu tanyakan itu rupanya adalah orang yang sentiasa membantu makcik yang akan kami lawati ini berulang alik ke Hospital Kajang untuk mendapat rawatan. Encik Maznan, semoga kebaikanmu mendapat balasan daripada Allah SWT.

Encik Maznan dengan besar hati membawa kami semua terus ke rumah makcik, malah siap mengarahkan supaya anak-anak tadika itu berbaris dulu sebelum berjalan sama-sama.

Dengan membawa barangan makanan asas, anak-anak tadika Al-Fatih berbondong membuat barisan di hadapan rumah makcik tersebut sambil mengucapkan salam dengan ceria. Mereka nampaknya tak sabar-sabar nak menyampaikan hasil sedekah yang mereka kumpulkan selama ini. Alhamdulillah, seronok tengok mereka !

Mulanya makcik itu agak terkejut menerima kunjungan satu batalion tapi juga nampak gembira. Agaknya ia suatu bentuk hiburan yang lain dari biasa. Seorang demi seorang anak-anak tadika masuk bersalam mencium tangan Makcik Noraisyah lalu duduk di atas lantai.

 

Guru-guru pengiring serta Kak Norzu mula bertanya khabar dengan Makcik Noraisyah setelah kami juga masuk dan duduk di bawah.

Makcik Noraisyah kini menggunakan kerusi roda setelah kakinya dipotong sehingga ke pangkal paha akibat kencing manis pada bulan April lalu. Memang menyayat hati mendengar cerita terperinci daripadanya bagaimana dia terpaksa menjalani pembedahan memotong kakinya dan melihat sendiri bahagian kaki yang tinggal selepas dipotong. Ngeri pun ada, ngilu pun ada.

 

Pada mulanya anak-anak Al-Fatih ini diam membisu, mendengar saja guru-guru dan orang dewasa berbual-bual. 

Tapi, terima kasih kepada Kak Norzu (seorang bekas guru tadika veteran dan salah seorang sifu  kami dulu), dia yang mula bertanya dan menggalakkan anak-anak Al-Fatih sendiri bertanya kepada Makcik Noraisyah.

Alhamdulillah, setelah dipujuk dan dicabar, akhirnya keluar juga soalan-soalan daripada budak-budak ni.

Bermacam-macam soalan yang keluar ; dari yang biasa kepada yang agak kelakar .  Ada yang bertanya  samada Makcik Noraisyah masih solat atau tidak (jawapan : ye ! solat duduk atas kerusi roda atau katil ), dan juga bagaimana beliau makan / tidur / mandi / masak / etc ( jawapan : semua macam biasa, cuma tak boleh berdiri lama kerana kaki sebelah yang tinggal itu akan penat ). Ada juga yang tanya ke mana pergi kaki makcik Noraisyah sekarang ! (jawapan : tanam dalam tanah)

Semua soalan Makcik Noraisyah jawab dengan baik dan mesra. Siap sempat beri nasihat kepada anak-anak Al-Fatih ini. Antara lainnya untuk sentiasa bersyukur dengan pemberian Allah SWT, walaupun kita merasa susah. Terima kasih , Makcik Noraisyah ! Insya-Allah kami ingat pesanan makcik…

Akhirnya, tiba masa untuk berpisah. Kami terpaksa meninggalkan rumah Makcik Noraisyah untuk ke sebuah lagi rumah tempat menyampaikan sumbangan.

Semua pun bersalam dengan makcik Noraisyah sebelum beredar. Semoga Allah SWT berikan Makcik Noraisyah sekeluarga kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi ujian ini, insya-Allah..

bersambung………