8 Tips Menggalakkan Anak-anak Kecil Berpuasa

 Alhamdulillah, Ramadhan kini telah tiba lagi. Debar-debar keseronokannya telah mula dirasai sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Tapi bagaimana kita sebagai ibu bapa ingin menggalakkan anak-anak berpuasa, terutama sekiranya ini merupakan Ramadhan pertama yang disedari oleh si kecil ?

Mari kita sama-sama berkongsi beberapa tips untuk membantu si kecil menghadapi Ramadhan, penghulu segala bulan.

1.      Bercerita tentang keberkatan Ramadhan

Langkah pertama ialah mula bercerita dan berbual dengan anak tentang bulan Ramadhan yang akan tiba. Sebaik-baiknya boleh dimulakan di bulan Syaaban, 2-3 minggu sebelum Ramadhan.

Boleh juga mula bercerita kepada anak kecil seusia 3-4 tahun walaupun mereka belum mula berlatih puasa pada tahun itu. Ini agar mereka sama-sama dapat berkongsi keistimewaan Ramadhan, bilamana melihat orang lebih tua bergembira semasa berbuka puasa dan berhari raya setelah sebulan berjaya berpuasa. Ceritakan juga cara menghormati orang lain yang berpuasa dengan tidak makan dan minum di depan mereka serta tidak mengganggu ketika mereka bersolat terawih pada malamnya.

Seawal usia 5-6 tahun, anak-anak sudah boleh berlatih untuk berpuasa secara sedikit demi sedikit. Tetapi jangan risau, ada yang lebih cepat dan ada yang lebih lewat kesedaran mereka. Ini bukan pertandingan dengan anak orang lain mahupun abang kakak mereka. Mulakan latihan bila anak sendiri ada keinginan atau sekurang-kurangnya tiada penentangan untuk berpuasa.

2.      Berikan galakan, bukan paksaan

Anak kecil belum pun wajib puasa ke atas mereka, jadi jangan dipaksa. Tubuh mereka belum boleh menahan lapar dan dahaga dengan mudah seperti orang dewasa.

Mulakan dengan tempoh berpuasa yang sedikit di awal Ramadhan, dan membenarkannya berbuka pada waktu azan Zohor atau selepas sekolah, atau sehingga waktu makan tengahari. Gunakan satu penanda masa yang jelas untuk membolehkan si kecil mengagak waktu berbukanya. Kemudian perlahan-lahan panjangkan tempoh sehingga ke waktu azan Asar, misalnya, dan ke waktu azan Maghrib di akhir Ramadhan, sekiranya boleh.

Berikan galakan dan sokongan untuk setiap hari, walaupun tempohnya berkurangan atau tidak berubah dari semalam. Yang penting di sini, bukan tempohnya, tetapi kesungguhannya dalam menahan lapar dan dahaga.

 

3.      Sediakan Jadual Ramadhan

Sebaik-baiknya sediakan Jadual Ramadhan yang mudah dan menarik agar si kecil boleh melihat pertambahan jumlah hari puasanya. Kirakan juga puasa setengah hari, dan boleh dikira setengah hari campur setengah hari sama dengan satu hari berpuasa penuh. Kiraan puasa budak-budak tak perlu begitu tepat !

4.      Pastikan mereka bersahur

Sebahagian daripada keistimewaan berpuasa adalah bersahur. Jadi jangan lupa kejutkan si kecil untuk bangun bersahur! Ada yang ingin bangun hanya kerana hendak merasa keseronokan makan awal pagi bersama ahli yang keluarga yang lain, walaupun mereka akan hanya makan sedikit.

Sekiranya mereka tidak mampu untuk makan makanan berat pada waktu sahur, paling kurang pastikan mereka makan makanan yang berkhasiat dan boleh mengenyangkan. Jangan memaksa mereka untuk makan jika mereka tidak mahu, minum jus buah atau susu sahaja juga boleh membantu.

Untuk anak-anak kecil yang tidak boleh bangun sahur di awal pagi, sahur juga boleh dilakukan semasa mereka bangun pagi iaitu semasa waktu sarapan pagi biasa mereka. Katakan kepadanya, sahur untuknya adalah pada masa itu, dan selepas masa sarapan, dia harus mula berpuasa. Sekali lagi, di sini, bukan tempoh puasa yang utama, tetapi kesabarannya menahan diri, walaupun tempoh yang singkat.

6.      Pujuklah dengan lemah lembut

Berpuasa memang agak sukar untuk anak-anak kecil yang baru mencuba kerana sifat mereka yang tidak sabar menunggu keinginan mereka dipenuhi. Lebih-lebih lagi keinginan fizikal seperti makan dan minum yang selalunya kita sebagai ibu bapa akan cepat sempurnakan.

Namun dalam hal berpuasa, ibu bapa harus melihat lebih jauh ke hadapan dan berazam untuk mendidik anak-anak dari kecil. Pujuklah mereka dengan baik dan lemah lembut apabila mereka mula merengek dan menangis ingin berbuka puasa.

Dari sebuah hadith Rasulullah SAW : “….Dia (Ar-Rubai’ binti Mu’awwidz) berkata: Selepas itu kami selalu berpuasa dan kami juga mendidik anak kecil kami untuk berpuasa dan kami sediakan untuk mereka semacam alat permainan diperbuat daripada bulu serigala, apabila seorang daripada mereka ada yang menangis meminta makan maka kami beri dia permainan itu. Demikianlah terus kami lakukan hingga tiba waktu berbuka.” (riwayat Bukhari)

Dalam masa yang sama, janganlah terlalu bertegas dengan mereka sehingga akhirnya hilang seronoknya berpuasa. Harus diingat, berpuasa bukanlah satu “pertandingan” dengan anak kawan-kawan ibu bapa atau pun saudara-mara, jadi ibu bapa janganlah terlalu berkeras ingin anak-anak meneruskan puasa mereka. Sekiranya mereka memang sudah tidak larat berpuasa, benarkanlah mereka berbuka.

Puji kesabaran anak-anak menahan diri semasa berpuasa, walaupun sesingkat manapun tempohnya. Berikan galakan kepada mereka untuk mencuba lagi keesokkan harinya.

7.      Raikan mereka semasa Berbuka Puasa

Sebuah hadith ada menyebut : “ .. Dan bagi orang yang berpuasa ada dua macam kegembiraan: Pertama ketika dia berbuka dan kedua ketika dia bertemu dengan tuhannya..” (sahih Muslim).

Sesungguhnya masa berbuka puasa adalah masa yang ditunggu-tunggu, apatah lagi untuk si anak kecil yang baru mula belajar berpuasa. Raikan mereka semasa menyediakan hidangan berbuka dengan memilih makanan kegemaran mereka. Ini juga masanya untuk menyediakan makanan yang jarang kita hidangkan seperti kuih tertentu atau masakan istimewa yang boleh menjadi bibit kenangan untuk keluarga kita apabila anak-anak telah dewasa kelak.

Semasa menikmati makanan berbuka, katakan kepada mereka betapa Allah SWT sayang kepada orang yang berpuasa ini kerana nikmat semasa berbuka adalah tak terkata. Tapi, jangan lupa, ini juga adalah masa yang sesuai untuk kita mendidik rasa bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan. Ingatkan mereka bagaimana rasanya lapar dan dahaga bila perut kita kosong, dan sememangnya ramai lagi di luar sana yang begitu sepanjang tahun, bukan sahaja di bulan Ramadhan.  Ingatkan juga berapa ramai lagi umat Islam yang lain tidak mampu berbuka puasa semewah kita.

8.      Kemenangan Semasa Aidilfitri

Setelah sebulan Ramadhan kita berpuasa, Hari Raya Aidilfitri memang dinanti-nanti. Buat anak-anak kecil yang baru mula belajar berpuasa, 1 Syawal lebih lagi bermakna kerana kali ini mereka juga sama merasa perit lelah berjuang menahan diri semasa berpuasa.

Sambutlah  Hari Raya Aidilfitri dengan menjadikannya hari kita sama-sama melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas ujian Ramadhan yang baru kita tempuhi. Tunjukkan kepada anak-anak bahawa Aidilfitri bukanlah hanya masa untuk hiburan dan memenuhi nafsu makan dan minum.

Ambil sedikit masa di tengah-tengah kesibukan berhari raya bersama anak-anak untuk mengimbau semula pencapaian mereka semasa Ramadhan. Puji mereka atas usaha mereka mencuba untuk berpuasa. Ini juga masanya untuk melihat jadual Ramadhan yang telah mereka isikan. Berikan hadiah istimewa untuk usaha mereka agar mereka merasa dihargai. Ingat, kita bukan menilai pencapaian tetapi usaha !

 

Semoga dengan tips yang dikongsikan, kita dapat mendidik anak-anak untuk meraikan Ramadhan, bulan yang mulia. Selamat berpuasa !

 

Nukilan :

Teacher Iman (9 Julai 2013)

(Seorang guru tadika dan ibu kepada 6 orang anak)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *